MURID TENDANG GURU
2 minggu lepas kita dikejutkan dengan satu kejadian yang amat memalukan kepada institusi pendidikan kita. Entah apa silapnya dengan dunia pendidikan hari ini sehingga tergamak seorang pelajar perempuan menumbuk dan menendang guru perempuan di dalam kelas .
Berita ini membuat semua orang terfikir apa sudah jadi dengan dunia persekolahan hari ini. Kenapa lahir pelajar sebegini? Pasti ramai akan berkata pendidikan hari ini masih gagal mengatasai keruntuhan akhlak di kalangan pelajar kita.
Di waktu yang sama saya ingin mengajak semua pembaca merenung hadis nabi yang bermaksud:
" Setiap anak yang dilahirkan adalah suci bersih, maka ibu bapanyalah yang akan
mencorak anaknya sama ada menjadi nasrani ataupun yahudi"...sahih.
Apa yang saya ingin tekankan dalam pembentukan anak-anak seawal 0-12 tahun menjadi amanah besar Allah swt kepada ibu bapa. Dalam umur inilah segala akhlak dan contoh teladan yang baik perlu disemai dan dibaja. Anak harus dididik dengan budi pekerti luhur ibu bapa itu sendiri. Pendedahan tutur kata dan amalan kehidupan ibu bapa seharian akan menjadi amalan anak-anak yang dididik. Latihan solat berjemaah dirumah bersama, makan bersama, menonton bersama akan membentuk anak yang menghormati ibu bapa dan seterusnya akan terbentuk anak yang berakhlak tinggi.
Namun hari ini, berapa kerap ibu bapa yang meluangkan masa untuk anak mereka. Ibu bapa akan berhabis duit menghantar anak ke kelas iqra dan kelas tuisyen. Tanpa kita menyedari bahawa tanggungjawab yang Allah amanahkan telah kita tidak mampu laksanakan. Saat ini anak sudah menganggap ..bapa aku pun tak pandai mengaji.....lantaran itu anak yang menghadiri kelas-kelas fardhu pun terus gagal mencapai matlamat kerana anak melihat kepada ibu bapa mereka yang sudah pincang.
Lantaran kegagalan pendidikan peringkat pertama ini, ibu bapa cuba mencari jalan memperbaiki kelemahan yang ada dengan mengharapkan alam persekolahan berjaya mengatasi kelemahan yang ada.Kita harus ingat bahawa pengaruh rakan sebaya hanya mampu dikekang pengaruhnya melalui kekuatan pendidikan yang kental oleh ibu bapa di rumah. Jika mreka berjaya menanam betapa pentingnya anak-anak memilih rakan yang baik bagi mengelak gejala buruk berlaku. Harus diinga anak yang baik sahaja akan mencari rakan yang baik, manakala anak yang bermasalah akan terus mencari rakan yang mampu mengisi kehendak naluri mereka yang sudah pasti bertentangan dengan norma masyarakat dan agama.
Pembentukan sahsiah dan akhlak remaja di sekolah yang sering dibebankan kepada guru agama yang dipanggil ustaz atau ustazah.Kalau inilah harapan kita, maka bererti kita akan gagal mencapai matlamat yang diharapkan. Guru agama akan bertemu anak-anak kita di sekolah menengah hanya 3 jam dalam seminggu dari jumlah keseluruhan 35 jam sewaktu sesi pembelajaran di sekolah. Puratanya lebih kurang 35 minit sehari, bayangkan apa yang boleh dibentuk dengan 35 minit oleh seorang bernama ustaz dengan puluhan murid setiap kali mereka mengajar anak kita di kelas. Sedangkan ibu bapa pula hanya berdepan dengan 3 atau 7 orang anak dirumah yang dibantu pula oleh ibunya.
Tetapi apabila berlaku sesuatu masalah dikalangan remaja/pelajar gurulah yang selalu dipersalahkan, apa yang ustaz buat, apa yang guru kauseling buat, apa yang pengetua buat, tapi jarang kita bertanya kepada ibu bapa, apa yang ibu dan ayah lakukan untuk memastikan anaknya menjadi baik, berakhlak dan bermoral.
Tanyakan kepada diri kita sebagai ibu bapa, apa yang kita buat untuk anak-anak kita?